Saturday 1 November 2014

Inilah sebuah kisah (3) - al habib Abdullah bin Syihab dan seorang bayi kecil






Habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihabuddin.





Seorang hamba Allah bercerita, ada seorang lelaki yang sering mengunjungi habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihab untuk menziarahinya dan kadangkala bertalaqqi dengannya. Meskipun bukan setiap hari namun seminggu sekali jika berkesempatan lelaki itu pasti akan hadir menemui gurunya itu di rumah habib yang terletak di Nuwaidirah. Dengan sifatnya yang lemah-lembut habib Abdullah akan menerima tetamunya dengan penuh ikram. Senyuman dan alu-aluan sentiasa di bibir akan membuatkan sesiapa sahaja yang menziarahinya akan berazam untuk bertemu lagi dengannya buat kali yang kedua.

Pemuda itu tadi sebenarnya mempunyai seorang cahaya mata yang masih kecil. Dia amat menyayangi anaknya itu. Namun begitu muamalahnya dengan sikecil agak kasar dan menyebabkan anak kecil itu kadang-kala menangis ketika bermain-main dengan ayahnya. Meskipun sudah diingatkan beberapa kali oleh si isteri agar berlemah-lembut dengan si kecil, tetap dia dengan sikapnya hingga menyebabkan si isteri merasa sedih setiap kali melihat anak kecilnya menangis.Setelah beberapa kali dinasihati namun sikapnya tetap sama. Akhirnya si isteri mengadu kepada Allah didalam solat dan doa agar sikap suaminya bisa berubah dari seorang yang kasar kepada seorang yang lebih penyayang dan lemah-lembut dalam melayani anak kecil mereka. 

Maha suci Allah yang sentiasa mendengar rintihan dan permohonan hambanya, pada minggu itu juga ketika lelaki itu hadir kerumah habib Abdullah, dengan tegas habib Abdullah telah berkata kepadanya: LA TU'ZIIHA ! LA TU'ZIIHA! (Jgn kau sakiti dia! Jangan kau sakiti dia!) Lelaki itu merasa sungguh terkejut dengan apa yang lahir dari lidah habib Abdullah bin Muhammad bin Alawi bin Syihabuddin kerana apa yang berlaku didalam rumahnya itu tidak ada siapapun yang tahu melainkan isterinya sahaja.Dia tidak pernah menceritakan kepada sesiapa dan isterinya juga tidak pernah mengadu kepada orang lain.

Apabila pulang ke rumah , lantas lelaki itu menceritakan kepada isterinya tentang amaran tegas daripada habib Abdullah terhadap sikap kasarnya tehadap anak mereka.Si isteri hanya tersenyum dan merasa amat bersyukur kerana Allah telah mendengar segala rintihannya dan memberi teguran secara lansung kepada suaminya melalui  habib Abdullah. Dan dengan teguran itu ia telah merubah sikap kasar si ayah terhadap anaknya yang masih kecil dan menjadi lebih lemah-lembut dan penyayang.
Alhamdulillah ala kulli hal.

 Habib Abdullah bersama habib Salim as-Syatiri



Habib Abdullah bersama habib Omar bin Hafizd.


No comments:

Post a Comment